Wednesday, October 19, 2011

Contoh Bab 2 Tinjauan Literatur

Assalamu'alaikum wbt dan selamat sejahtera.

Di bawah ini ditampalkan pula contoh penulisan laporan kajian untuk bab 2 iaitu Tinjaun Literatur.




BAB II


TINJAUAN LITERATUR


Pendahuluan

Bab ini akan membincangkan tentang konsep-konsep dan teori yang mendasari kajian serta meninjau kajian-kajian berkaitan yang ada hubungan dengan motivasi belajar, harga diri dan motivasi pencapaian. Topik-topik ini menyediakan latar belakang penting terhadap penyataan masalah, pembentukan soalan penyelidikan, objektif kajian dan kerangka konseptual kajian.


Konsep Motivasi

Ahli-ahli psikologi berpendapat bahawa tingkah laku manusia dipengaruhi oleh beberapa  faktor. Ada kalanya manusia bertindak berasaskan perasaan dan nalurinya sendiri dan ada kalanya mereka dipengaruhi oleh alam sekeliling. Apa yang mendorong manusia bertindak untuk mencapai sesuatu tujuan ialah motivasinya. Motivasi juga sebagai satu set proses yang memberi tenaga kepada tingkah laku seseorang itu dan menghala tingkah laku itu kepada satu-satu matlamat. Baginya motivasi bukan sahaja melibatkan sesuatu keperluan yang menggerakkan tingkah laku seseorang itu tetapi juga hala tuju yang diambil oleh seseorang itu untuk memuaskan keperluan itu.

Abdul Rahman Aziz (1997) mengatakan bahawa motivasi adalah usaha yang dilakukan secara berterusan untuk membangkitkan kesedaran dalam diri seseorang agar mereka giat berusaha untuk mencapai kejayaan. Baginya kesedaran dapat dibangkitkan dengan membawa individu meneroka potensi dirinya.manusia yang mendenal dirinya akan dapat mememui kekuatan dalaman yang ada padanya.

Mohd. Shahrani Ahmad dan Zainol Madon (2003) pula memberi definisi motivasi sebagai satu proses membangkitkan, mengarahkan dan mengekalkan tingkah laku ke arah tujuan tertentu, yang sebelumnya tidak ada gerakan ke arah tujuan tersebut. Bagi mereka, motivasi merupakan suatu kuasa dalaman yang kompleks yang tidak dapat difahami secara langsung tetapi mempengaruhi tingkah laku seseorang. Motivasi merupakan dorongan dari dalam yang berupa harapan dan keinginan yang
menggerakkan individu untuk melakukan tindakan bagi mencapai sesuatu tujuan tertentu atau mencapai kejayaan dalam hidup serta mengelakkan kegagalan.

Menurut Colquitt, LePine dan Noe (2000), motivasi untuk belajar didefinisikan sebagai arah, kemahuan dan tingkah laku yang mengarah kepada pembelajaran berterusan dan juga telah didapati positif kepada prestasi pembelajaran. Kajian mereka dijalankan secara analisis meta.

Selain itu, Saifuddin Haji Masduki(1997) mendefinisikan motivasi sebagai penggerak kepada kemahuan dan keinginan untuk mencapai sesuatu untuk berjaya. Baginya, faktor penggerak merujuk kepada keperluan untuk mencapai tiga matlamat iaitu, pertama ialah pencapaian yakni pelajar berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam bidang akademik dan kokurikulum. Kedua ialah satu kuasa dalaman yang menggerakkan pelajar bersaing bagi memegang jawatan atau ketua dalam pasukan atau persatuan-persatuan di sekolah dan ketiga ialah penggabungan iaitu pelajar menunjukkan hubungan yang baik antara sesama mereka, juga dapat dilihat apabila pelajar-pelajar menilai sokongan daripada rakan-rakan mereka dan juga penglibatan mereka.

Shiv Khera (1998) pula memberikan definisi motivasi sebagai sesuatu yang menggalakkan atau merangsang tindakan ataupun perasaan. Motivasi merupakan satu daya pendorong kepada seseorang untuk bertindak dan melakukan sesuatu. Ia adalah daya yang secara harafiah boleh mengubah kehidupan seseorang.

Motivasi pelajar merupakan masalah utama terutama ketika pengajaran dan pemelajaran dalam kelas. Banyak pelajar berasa bosan ketika belajar. Perasaan bosan ini menyebabkan kurangnya perhatian mereka kepada guru. Keadaan ini menjadi salah satu punca kepada pencapaian akademik yang rendah dan berhenti dari sekolah. Mengikut Rothman (1990), kajian terhadap 2500 pelajar gred lapan mendapati separuh daripada responden mereka mengatakan mereka berasa bosan di sekolah. Kajian mereka mencadangkan supaya dicari strategi baru bagi mengurangkan kebosanan pelajar dan meningkatkan motivasi belajar mereka.

Stipek (1988) pula mengatakan perlunya ditingkatkan motivasi dalaman pelajar untuk
belajar. Beliau percaya terdapat banyak cara untuk meningkatkan motivasi dalaman

pelajar ini. Antaranya ialah dengan memberikan tugasan yang mencabar, penggunaan bahasa positif dalam kelas dan pembelajaran secara koperatif. Eccles, Midgeley dan Adler (1984) menyokong pandangan ini dan mengatakan bahawa motivasi akan meningkat jika pelajar diberikan lebih banyak autonomi dan kawalan terhadap pembelajaran mereka.

Stodolosky, Salk dan Glaessner (1991) mendapati persepsi pelajar terhadap subjek mempengaruhi motivasi mereka untuk belajar. Mereka membandingkan pandangan pelajar terhadap dua buah subjek iaitu matematik dan pengajian sosial. Mereka mendapati penilaian minat mereka terhadap subjek tersebut. pelajar terhadap matematik dipengaruhi oleh kejayaan manakala pandangan terhadap pengajian sosial dinilai melalui sejauhmanakah

Pandangan ini turut disokong oleh Suhaimi Haji Zakaria (1991). Menurut beliau, motivasi belajar dan disiplin merupakan kunci utama kejayaan seseorang pelajar. Justeru, motivasi untuk belajar perlu diberikan penekanan untuk menggalakkan pembelajaran serta menyekat perlakuan yang tidak sopan. Beliau menambah lagi, motivasi merujuk kepada penglibatan pelajar dalam aktiviti pembelajaran dan gerak kerja dalam kelas. Disiplin pula merujuk kepada pembentukan pelajar terhadap perlakuan yang boleh diterima. Motivasi yang rendah akan menghasilkan suasana perlakuan yang negatif.

Hasil kajian Jenkins (1995) melaporkan, terdapat hubungan yang sonsang antara komitmen pelajar dengan jenayah sekolah. Pelajar yang terlibat dalam salah laku jenayah adalah mereka yang kurang komitmen terhadap sekolah dan pelajaran. Kurangnya komitmen dalam pelajaran sering dihubungkan dengan tidak wujudnya motivasi dalam diri pelajar untuk mencapai kejayaan.

Biasanya pelajar yang berjaya ialah pelajar yang mempunyai motivasi yang tinggi. Ini kerana motivasi merupakan satu daya yang paling kuat untuk memperoleh kecemerlangan (Toh Hon Leong, 2000). Menurut beliau lagi, pelajar yang cemerlang ialah pelajar yang dapat memfokus kepada faktor-faktor penyebab kecemerlangan. Mereka dapat mencurahkan lebih masa, tenaga dan usaha kepada aktiviti yang penting dan kritikal untuk mencapai prestasi cemerlang. Menurut kajian dan penyelidikannya, beliau mendapati terdapat beberapa faktor yang amat penting untuk mencapai kejayaan. Faktor-faktor tersebut yang dikenali sebagai faktor kejayaan kritikal adalah seperti berikut iaitu:-
a) strategi Motivasi
b) strategi Berusaha
c) strategi Belajar
d) strategi Pengurusan Masa
e) strategi Kesihatan Diri
f) strategi Peperiksaan


Hubungan antara Motivasi dengan Pencapaian Akademik

Kajian-kajian lalu menunjukkan bahawa motivasi pencapaian merupakan pemboleh ubah yang berkaitan dengan pencapaian akademik (Uguroglu, 1982) dan menjadi peramal yang tekal bagi pencapaian akademik (McKay 1984). Ini menunjukkan motivasi pencapaian mempunyai perkaitan yang kuat dengan prestasi akademik pelajar. Kajian Saifuddin Haji Masduki (1997), mendapati bahawa pencapaian akademik mempunya hubungan yang signifikan dengan matlamat motivasi. Arah hubungan adalah positif. Ini bermakna semakin tinggi motivasi semakin tinggi pencapaian akademik manakala
kekuatan hubungan adalah sederhana (r =0.29).

Dapatan ini menunjukkan faktor motivasi adalah penting dalam usaha untuk meningkatkan prestasi akademik pelajar. Bagi beliau, motivasi pencapaian merupakan keperluan yang paling penting antara tiga jenis keperluan motivasi yang mempengaruhi komitmen pelajar dan pencapaian akademik. Oleh yang demikian untuk meningkatkan prestasi akademik pelajar perlu sentiasa diberi motivasi bagi mengekalkan tahap motivasi mereka agar sentiasa tinggi.

Kajian Entwistle (1980) mendapati bahawa kaedah belajar yang baik dan teratur serta motivasi yang tinggi merupakan sebahagian daripada faktor yang berkaitan dengan prestasi akademik yang tinggi. Hsiang (1993) mengatakan bahawa motivasi pelajar merupakan pemboleh ubah yang sangat penting terhadap pencapaian akademik pelajar tetapi ia tertakluk kepada sikap mereka terhadap pelajaran. Sikap positif, yakin diri dan iltizam yang tinggi terhadap pelajaran boleh memberi hasil pencapaian akademik yang tinggi.

Menurut kajian Nabilah Hashim (2004), pelajar yang mendapat pencapaian akademik yang baik adalah mereka yang mengamalkan pembelajaran yang aktif di dalam dan di luar kelas manakala pelajar yang mendapat pencapaian akademik yang rendah adalah mereka yang mengamalakn pembelajaran yang pasif. Pengkaji berpendapat mereka yang mengamalkan pembelajaran yang aktif ialah mereka yang mempunyai tahap motivasi yang tinggi manakala mereka yang mengamalkan pembelajaran yang pasif ialah mereka yang mempunyai tahap motivasi yang rendah atau tidak bermotivasi.


Harga Diri

Konsep ini adalah sebahagian dari konsep diri global yang ada pada seseorang individu, yang mana ia termasuklah ciri-ciri seperti nilai, kebolehan, matlamat hidup dan harga diri. Harga diri merupakan persepsi seseorang terhadap dirinya yang diakibatkan oleh pengalaman dirinya dengan persekitaran dan dipengaruhi oleh pengukuhan terhadap persekitaran. Mereka mengenal pasti tujuh ciri-ciri harga diri iaitu tersusun, pelbagai, hierarki, stabil, berkembang, boleh dinilai dan boleh dibezakan.

Baumeister dan Tice (1984) pula mendefinisikan harga diri sebagai penilaian terhadap diri yang berbentuk global dan lazimnya dinilai daripada darjah seseorang itu berupaya menerima pelbagai bentuk kenyataan penilaian terhadap dirinya. Individu yang mempunyai harga diri yang tinggi lebih menekankan dan mementingkan kebolehan, kekuatan serta kualiti diri yang baik. Sebaliknya mereka yang rendah harga diri menumpukan perhatian kepada kelemahan, kekurangan serta kualiti yang tidak baik yang terdapat dalam diri mereka.

Randall (1996) pula mendefinisikan harga diri sebagai perasaan relatif negatif atau positif mengenai diri sama ada lebih positif atau negatif pada individu dan juga interpretasi individu terhadap kejayaan dan kegagalan terhadap kehidupan seharian.

Menurut Harter (1990), harga diri seseorang itu akan berbeza selepas satu peringkat perkembangan iaitu selepas kita menerokai keupayaan diri dan belajar lebih banyak kemahiran. Kita selalunya akan mempunyai harga diri yang lebih tinggi dalam satu bidang berbanding dengan yang lain. Menurut Harter lagi, kanak-kanak yang berumur antara 4 hingga 7 tahun boleh menilai diri mereka dalam empat domain peribadi iaitu kognitif, fizikal, sosial dan tingkah laku. Sebaliknya antara umur 8 hingga 12 tahun, perkembangan harga diri bertambah kepada skolastik, atlit, penerimaan sosial rakan sebaya, tingkah laku dan penonjolan fizikal. Semasa remaja pula, lebih banyak bidang diperoleh iaitu semangat berkawan dan kemahiran kerja. Apabila dewasa pula, bidang harga diri bertambah semakin banyak. Antaranya ialah kecerdikan, sifat jenaka, moral, sukan, penonjolan fizikal, sosial, dan pengurusan rumah tangga.

Guru-guru dan ibu bapa tidak boleh mengabaikan kepentingan persepsi terhadap diri kerana ketidaktepatan penilaian terhadap diri oleh kanak-kanak menyebabkan sukarnya mereka menyelesaikan kerja-kerja sekolah dan menyesuaikan diri dengan kehidupan di luar sekolah (Philips, 1987). Kanak-kanak yang meletakkan diri mereka mempunyai keupayaan diri yang rendah meletakkan cabaran yang rendah berbanding pelajar yang tinggi harga diri (Harter, 1983).

Kajian oleh Meriwether (2003) terhadap tingkah laku tidak bermoral mendapati bahawa semua perlakuan tidak bermoral ini dilakukan oleh responden yang rendah harga diri mereka sebaliknya Roy (2003) mendapati harga diri yang tinggi tidak membantu meningkatkan prestasi sekolah. Ini menunjukkan dapatan yang masih tidak konsisten terhadap hubungan antara harga diri dengan pencapaian akademik.


Hubungan antara Motivasi, Harga Diri dan Pencapaian Akademik

Murphy dan Roopchand (2003) mengkaji hubungan antara motivasi intrinsik terhadap pembelajaran dan harga diri. Beliau membandingkan dua kumpulan pelajar iaitu pelajar tradisional dan matang dengan pendekatan belajar. Dapatan beliau daripada 160 sampel menunjukkan bahawa harga diri dan motivasi intrinsik mempunyai hubungan. Pelajar perempuan yang lebih matang mendapat skor motivasi intrinsik yang lebih tinggi. 

Dapatan kajian yang sebaliknya telah dilaporkan oleh Roy (2003) iaitu dalam kajian mereka mendapati bahawa individu yang tinggi perasaan harga diri secara umumnya tidak membantu prestasi sekolah dan prestasi kerja. Walau bagaimanapun, kejayaan akademik dan kerjaya menjadi pemangkin kepada harga diri. Menurut beliau, harga diri yang tinggi tidak menghalang remaja daripada menghisap rokok, meminum alkohol, menghisap dadah, terlibat dengan seks dan semua perlakuan yang tidak bermoral. Pembuli di sekolah menurut beliau didapati mempunyai harga diri yang tinggi.

D'Amico dan Cardaci (2003), melaporkan kajian hubungan antara efikasi diri, harga diri dan pencapaian skolastik menggunakan 151 subjek. Dapatan kajian mereka menunjukkan bahawa efikasi diri mempunyai hubungan yang signifikan dengan pencapaian skolastik tetapi tidak terdapat hubungan antara harga diri dengan pencapaian skolastik.


Hubungan Latar Belakang Personal dengan Pencapaian Akademik.

Banyak pendapat dari kajian-kajian lepas menyatakan bahawa latar belakang personal mempunyai hubungan dengan pencapaian akademik. Antara pemboleh ubah yang dilihat memberi pengaruh terhadap pencapaian akademik ialah jantina, bangsa dan latar belakang keluarga seperti tahap pendidikan ibu bapa, komitmen ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak, struktur keluarga dan status ekonomi.

Kajian Jenkins (1995) mendapati bahawa faktor jantina memainkan peranan utama mempengaruhi komitmen pelajar terhadap sekolah. Philips dan Zimmerman (1990) mendapati pada gred ketiga dan kelima, tidak wujud perbezaan harga diri tetapi pada gred 9, pelajar perempuan lebih banyak percaya mereka tidak ada keupayaan yang tinggi dalam bidang akademik.

Sharifah Md Noor (1991) pula dalam kajiannya mendapati bahawa faktor bangsa mempunyai hubungan signifikan dengan pencapaian akademik. Dapatan beliau menunjukkan bangsa India mempunyai hubungan yang negatif dan signifikan dengan pencapaian akademik. Dalam kajiannya, Sharifah mendapati kanak-kanak India tidak menguasai pencapaian akademik yang tinggi berbanding kanak-kanak Melayu dan Cina. Selain daripada faktor bangsa, beliau turut mengaitkan kedudukan status sosioekonomi mereka yang rendah turut menyumbang kepada masalah ini. Ini bermakna keadaan ini mungkin berbeza jika kajian dibuat ke atas mereka yang mempunyai taraf sosioekonomi yang tinggi.

Kajian Habibah Elias (1993) pula terhadap pelajar-pelajar universiti mendapati bahawa prestasi peperiksaan pelajar-pelajar Cina dalam kursus-kursus kreatif dan kuantitif adalah lebih tinggi daripada pelajar-pelajar Melayu. Beliau berpendapat keadaan ini berlaku mungkin disebabkan oleh input latihan yang diikuti yang menekankan tentang ciri-ciri cabaran, persaingan, maklum balas segera tentang kemajuan, usaha dan kecemerlangan adalah lebih sesuai dengan nilai-nilai hidup kumpulan etnik Cina yang sudah biasa dengan ciri-ciri tersebut dalam amalan hidup mereka. Oleh sebab itulah mereka mendapat faedah dalam bentuk peningkatan prestasi yang lebih tinggi berbanding dengan pelajar Melayu.

Latar belakang keluarga dikatakan mempunyai hubungan yang rapat dengan tahap pencapaian anak-anak dalam pelajaran. Kajian Anderson (1994) mengenai kesan penglibatan ibu bapa ke atas pencapaian akademik mendapati jika ibu bapa terlibat secara langsung dan aktif dalam pendidikan anak-anak mereka, anak-anak mereka akan mencapai keputusan yang lebih cemerlang dalam peperiksaan jika dibandingkan dengan pelajar yang ibu bapa tidak terlibat secara langsung dalam pendidikan mereka.

Mengikut kajian Kuen (1991), terdapat perkaitan yang signifikan antara penglibatan ibu bapa dengan pencapaian akademik pelajar. Dalam kajiannya, beliau mendapati bahawa 71.7% daripada 60 pelajar yang dikaji, suka jika ibu bapa lebih banyak bertanyakan pelajaran mereka di sekolah, manakala 88.3% pelajar pula lebih suka jika ibu bapa mereka memberi perhatian terhadap pelajaran.

Namun begitu dapatan kajian Rusli Md Zain (1998) pula mendapati kesan yang sebaliknya iaitu penglibatan ibu bapa tidak mempunyai hubungan yang positif dengan pencapaian PMR pelajar-pelajar sekolah berasrama penuh yang dikaji. Ini bermakna penglibatan atau pengaruh ibu bapa bukanlah faktor penentu kejayaan mereka dalam pencapaian akademik.

Sementara itu, Saifuddin Hj Masduki (1997) pula, dalam kajiannya mendapati bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara pencapaian akademik dengan pendapatan ibu bapa dan tahap pendidikan ibu bapa. Dapatan beliau menunjukkan arah kedua-dua hubungan adalah positif. Ini bermakna semakin tinggi pendapatan ibu bapa dan tahap pendidikan mereka, maka semakin tinggi tahap pencapaian akademik anak-anak mereka. 

Rusli Md Zain (1998) dalam kajiannya juga melaporkan terdapat hubungan positif antara pencapaian akademik dengan pendapatan keluarga. Ini kerana mereka yang berpendapatan tinggi dapat memenuhi segala perbelanjaan anak-anak seperti penyediaan buku-buku tambahan. Dapatan ini selaras dengan dapatan kajian Siti Nor Yaakob (1990) yang mendapati bahawa terdapat hubungan signifikan yang tinggi antara taraf pendidikan ibu bapa dengan pencapaian akademik anak-anak. Ibu bapa yang mempunyai pendidikan menengah dan yang berpelajaran mempunyai pengaruh yang lebih besar terhadap anakanak mereka.

Namun begitu, terdapat juga pendapat yang bercanggah dengan pendapat yang dikemukakan di atas. Kajian Nik Yasin Nik Zain (1981) dan Asfawasin Zakaria (1990) mendapati bahawa kolerasi antara sosioekonomi dan pencapaian akademik adalah tidak signifikan. Mengikut Nik Yasin Nik Zain (1981), terdapat pelajar-pelajar dari kelas bawahan yang mempunyai pencapaian akademik yang lebih baik daripada kelas menengah. Baginya kelas ekonomi ibu bapa adalah tidak penting, tetapi tahap penglibatan ibu bapa terhadap pelajaran anak-anak adalah lebih berpengaruh terhadap pencapaian akademik pelajar. Mengenai struktur keluarga pula, kajian Jenkins (1995) mendapati tidak terdapat hubungan yang signifikan antara struktur keluarga dengan

Contoh Bab 1 Pengenalan

Assalamu'alaikum dan selamat sejahtera kepada pelajar-pelajar semester  sesi September 2011/2012 KYM-UUM.

Sebagaimana yang anda ketahui, anda dikehendaki melakukan suatu kajian mini dan kemudiannya melaporkan hasil kajian dalam bentuk laporan bertulis.

Apa yang saya perhatikan, para pelajar sangat sukar melaksanakan tugasan yang diberikan. Oleh yang demikian, di bawah ini saya tampalkan suatu contoh laporan kajian oleh Dr. Abd. Sukor Shaari, Yahya Don, dan Yaakob Daud  daripada UUM sebagai panduan menulis BAB 1 Pengenalan.





MOTIVASI BELAJAR DAN HARGA DIRI :
HUBUNGAN DENGAN PENCAPAIAN AKADEMIK DAN
KEGIATAN KOKURIKULUM PELAJAR SEKOLAH MENENGAH


BAB I
PENGENALAN
Pengenalan

Motivasi ialah kemahuan dalam diri seseorang individu untuk melakukan sesuatu bagi mencapai matlamat. Menurut Sternberg (2001), motivasi bererti dorongan atau keperluan yang memimpin kepada sesuatu tindakan. Motivasi juga melibatkan sesuatu proses yang memberikan kuasa dan arahan yang menggerakkan tingkah laku seseorang.

Motivasi juga berkait rapat dengan keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam setiap usaha yang dilakukan (Mohamad Zaaba dan Zuraida Haji Ismail, 2004). Menurut mereka lagi, jika seseorang pelajar itu terdorong untuk belajar dengan tekun bagi mendapatkan keputusan yang cemerlang maka pelajar itu ialah seorang pelajar yang bermotivasi. Antara ciri-ciri pelajar bermotivasi tinggi ialah mereka sentiasa ingin ke sekolah awal, ingin ke perpustakaan, gemar membaca, gemar belajar dan menganggap peperiksaan sebagai satu cabaran.

Oleh sebab itu, adalah amat penting bagi semua pihak yang terlibat dengan pendidikan terutamanya pihak sekolah merancang dan melaksanakan pelbagai langkah bagi meningkatkan minat dan motivasi pelajar. Pihak sekolah perlu menyediakan iklim persekolahan yang positif bagi menggerakkan motivasi pelajar untuk menghasilkan corak pembelajaran yang berkesan. Ini kerana iklim sekolah merupakan faktor terpenting dalam menentukan kualiti pembelajaran murid-murid di sekolah seterusnya menentukan keberkesanan sesebuah sekolah.

Kecemerlangan pendidikan merupakan agenda penting yang sering dibincangkan. Ini kerana pembangunan dan kemajuan negara pada masa hadapan amat bergantung kepada sistem pendidikan dan rupa bentuk pelajar yang akan dihasilkan. Dalam usaha untuk membaiki kualiti dalam bidang pendidikan ini, lebih banyak fokus perlu diberikan kepada motivasi pelajar-pelajar. Ini kerana pelajar merupakan harapan negara pada masa hadapan.

Walau setekal mana dan semantap manapun program pendidikan yang dirancang dan dilaksanakan, ianya tidak akan mencapai hasil yang sepenuhnya jika para pelajar tidak berminat untuk belajar. Menurut Mohamad Zaaba dan Zuraida Haji Ismail (2004), walaupun kehadiran pelajar agak memuaskan, namun kehadiran secara fizikal tidak menjamin penglibatan mental. Pelajar-pelajar dilihat gagal mengambil peluang sepenuhnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ini kerana ramai pelajar tidak mempunyai komitmen terhadap pelajaran mereka.

Penyataan Masalah

Kajian-kajian terhadap motivasi belajar memang banyak. Antaranya ialah kajian terhadap tahap motivasi pelajar (Rothman, 1990), tahap motivasi dan hubungannya dengan penglibatan pelajar dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran dan gerak kerja dalam kelas (Suhaimi Zakaria, 1991).

Kajian-kajian terhadap harga diri pelajar juga banyak. Antaranya yang mengaitkan harga diri dengan pencapaian akademik (D’Amico & Cardaci, 2003; Roy, 2003), dan kajian tentang hubungan harga diri dengan perlakuan tidak bermoral (Meriwater, 2003). Menurut dapatan kajian oleh D’Amico dan Cardaci (2003) dan Roy (2003), tidak terdapat hubungan antara harga diri dengan pencapaian akademik.

Banyak kajian terhadap motivasi belajar dan harga diri dilakukan dengan menghubungkannya dengan pencapaian akademik tetapi kurangnya kajian terhadap mencari mengkaji hubungan antara motivasi belajar dengan harga diri.

Selain itu, kurangnya kajian yang memfokuskan kepada mencari perbezaan motivasi belajar dan harga diri mengikut kumpulan pencapaian akademik dan penglibatan kokurikulum. Adakah pelajar yang datang daripada kumpulan pencapaian akademik dan penglibatan kokurikulum yang berbeza mempunyai motivasi belajar dan harga diri yang berbeza? Adakah corak motivasi belajar dan harga diri berbeza juga mengikut latar belakang demografi?

Objektif Kajian

Objektif Am

Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap motivasi belajar dan harga diri pelajar-pelajar di sekolah-sekolah menengah dan hubungannya dengan pencapaian akademik dan penglibatan kokurikulum.

Objektif Khusus

Objektif khusus kajian ini ialah :-

1. mengenal pasti tahap motivasi belajar dan harga diri pelajar-pelajar di sekolah menengah.

2. membandingkan perbezaan tahap motivasi belajar dan harga diri pelajar-pelajar di sekolah menengah ini berdasarkan pencapaian akademik.

3. membandingkan perbezaan tahap motivasi belajar dan harga diri pelajar-pelajar di sekolah menengah ini berdasarkan penglibatan kokurikulum.

4. membandingkan perbezaan tahap motivasi belajar dan harga diri pelajar-pelajar ini berdasarkan latar belakang demografi.

5. mengukur hubungan antara harga diri, motivasi belajar dengan pencapaian akademik dan penglibatan kokurikulum.


Soalan Kajian

Berdasarkan kepada dimensi-dimensi permasalahan kajian yang dikemukakan, soalansoalan bagi kajian ini ialah:

1. Apakah tahap motivasi belajar dan harga diri pelajar-pelajar di sekolah menengah?

2. Adakah terdapat perbezaan tahap motivasi belajar dan harga diri pelajar-pelajar di sekolah menengah ini berdasarkan pencapaian akademik?

3. Adakah terdapat perbezaan tahap motivasi belajar dan harga diri pelajar-pelajar di sekolah menengah ini berdasarkan penglibatan kokurikulum?

4. Adakah terdapat perbezaan tahap motivasi belajar dan harga diri pelajar-pelajar ini berdasarkan latar belakang demografi?

5. Adakah terdapat hubungan antara harga diri, motivasi belajar dengan pencapaian akademik dan penglibatan kokurikulum?


Signifikan Kajian

Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Penyataan ini menunjukkan bahawa para pelajar merupakan generasi yang menjadi sumber bernilai kepada negara tetapi para pelajar yang tidak bermotivasi, rendah harga diri dan tidak mempunyai disiplin tidak mendatangkan banyak kebaikan kepada negara. Oleh itu, maklumat dan dapatan daripada kajian ini, dijangka dapat menambahkan maklumat dan pengetahuan di samping menjanakan satu kerangka kerja yang baharu terhadap masalah disiplin di kalangan pelajar.

Di samping itu, kepada pelaksana dasar pada peringkat staf pentadbiran di jabatan pendidikan negeri, pengetua-pengetua dan guru besar sekolah diharapkan dapat menggunakan dapatan kajian ini untuk mengenal pasti hubungan antara motivasi belajar dan harga diri dengan pencapaian akademik.

Penyelidikan ini juga penting kerana dapat mengenal pasti adakah perbezaan pencapaian akademik dan penglibatan kokurikulum disebabkan rendahnya motivasi belajar dan harga diri mereka. Ini kerana terdapat kekurangan dalam kajian-kajian lepas mengenai faktor-faktor yang menjadi peramal terhadap tingkah laku pelajar dalam pencapaian akademik dan penglibatan kokurikulum dari sudut psikososial pelajar sekolah menengah terutama di Malaysia. Kajian ini merupakan satu pencetus usaha kepada kajian-kajian lepas mengenai motivasi belajar, harga diri dan pencapaian akademik pelajar-pelajar
sekolah menengah.


Skop dan Batasan Kajian

Kajian ini hanya memberikan tumpuan untuk mengenal pasti hubungan antara motivasi belajar, harga diri dengan pencapaian akademik dan penglibatan kokurikulum di kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah. Selain itu, kajian ini juga bertujuan mengukur adakah ciri-ciri demografi pelajar seperti jantina, etnik dan latar belakang sosioekonomi mempunyai hubungan dengan pencapaian akademik dan penglibatan kokurikulum mereka.

Walaupun terdapat beberapa kajian yang menyenaraikan beberapa pemboleh ubah lain yang mempengaruhi pencapaian akademik dan penglibatan kokurikulum tetapi kajian ini hanya terbatas untuk mengkaji pemboleh ubah-pemboleh ubah yang dinyatakan sahaja. Pemboleh ubah yang digunakan dalam kajian ini dipilih selepas membuat kajian-kajian lepas, berdasarkan kepada pelbagai pendapat yang berkaitan, diikuti dengan penilaian penyelidik sendiri berdasarkan sebagai bekas guru di sekolah menengah. Penyelidik lain mungkin memilih pemboleh ubah yang berbeza untuk digunakan dalam kajian walaupun skopnya sama.

Kajian ini hanya melibatkan pelajar-pelajar sekolah-sekolah menengah kebangsaan di dua buah daerah di Kedah sahaja. Sekolah-sekolah ini hanyalah sekolah menengah harian biasa. Maklumat yang didapati terbatas kepada kesediaan responden untuk meluahkan perspektif mereka dengan baik. Oleh itu, untuk membuat generalisasi dapatan ini kepada populasi yang lebih besar perlu dibuat secara berhati-hati.

Kajian ini akan menggunakan teknik "cross-sectional' iaitu direka bentuk untuk mengukur topik yang khusus dan mengutip data hanya pada masa itu sahaja. Selain itu, kajian ini dijalankan ketika responden baru sahaja memasuki persekolahan tingkatan 4. Justeru, maklumat yang diberikan oleh responden yang digunakan untuk menganalisis dapatan kajian dipengaruhi oleh tempoh masa ketika kajian ini dijalankan.


Definisi Operasional

Motivasi

Motivasi ialah kesedaran seseorang untuk meningkatkan usaha ke arah mencapai sesuatu matlamat dengan syarat usaha tersebut dapat memenuhi keperluan individu itu sendiri (Robbins,1998). Motivasi mempunyai tiga unsur yang penting iaitu usaha, matlamat dan keperluan dan seseorang yang mempunyai motivasi akan berusaha dengan bersungguhsungguh untuk mencapai matlamat. Motivasi juga didefinisikan sebagai penggerak kepada kemahuan-kemahuan dan keinginan untuk berjaya atau untuk mencapai sesuatu rancangan untuk mengelakkan diri daripada kegagalan (Saedah, Zainon dan Tunku Mohani,1996).

Motivasi Belajar

Mohd Zaaba dan Zuraida Hj Ismail (2004), mentakrifkan motivasi belajar sebagai usaha dan kemahuan individu untuk belajar, bekerja kuat dan mencapai prestasi cemerlang di sekolah. Motivasi ialah aras insentif yang ada pada seseorang dalam usaha untuk mencapai matlamat akademik. Marshall (1987) pula mentakrifkan motivasi untuk belajar sebagai nilai, kepentingan dan faedah yang diperoleh dari tugasan akademik tidak kira sama ada tugasan itu menarik atau pun tidak. Ames (1990) pula mentakrifkannya sebagai penglibatan jangka panjang yang berkualiti serta iltizam dalam proses pembelajaran manakala Brophy (1987) menyatakan untuk belajar adalah kemahiran yang diperoleh melalui pengalaman yang dirangsang secara terus melalui model atau contoh, komunikasi jangkaan, arahan atau proses sosialisasi dengan individu yang berpengaruh terutama guru dan ibu bapa.

Dalam kajian ini, motivasi untuk belajar adalah usaha dan kemahuan individu untuk belajar, bekerja kuat dan mencapai prestasi cemerlang di sekolah. Motivasi adalah aras insentif yang ada pada seseorang dalam usaha untuk mencapai matlamat akademik. Ini bermakna individu ini bukan sahaja mahu berusaha malah menghargai dan seronok belajar dan mendapat manfaat daripada pembelajaran yang dijalankan.

Harga Diri

Konsep ini bermaksud penilaian individu terhadap terhadap diri sendiri yang diakibatkan oleh pengalaman dirinya dengan persekitaran.

Pencapaian Akademik

Pencapaian akademik merujuk kepada hasil yang diperoleh oleh pelajar-pelajar setelah mempelajari sesuatu ilmu pengetahuan. Secara khususnya pencapaian akademik merujuk kepada penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran pada sesuatu tahap mengikut ukuran peperiksaan. Pencapaian akademik pelajar dalam kajian ini diukur melalui dua cara iaitu yang pertama melalui keputusan peperiksaan PMR 2003 bagi tujuh mata pelajaran wajib yang diambil oleh semua calon PMR. Mata pelajaran tersebut ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah, Geografi dam Kemahiran Hidup. Skor setiap subjek diberikan nilai seperti di bawah

A - 5
B - 4
C - 3
D - 2
E - 1

Pencapaian akademik ini kemudiannya dikategorikan ke dalam dua kumpulan berikut iaitu 
Tinggi : Skor 21 - 35
Rendah : Skor 7 - 20

Selain itu, cara kedua ialah dengan mengambil markah dalam mata pelajaran Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sahaja sebagai ukuran pencapaian akademik.

Penglibatan Kokurikulum

Penglibatan kokurikulum pelajar bermaksud keaktifan pelajar untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum di sekolah sama ada dalam bidang unit beruniform, sukan dan persatuan. Dalam kajian ini, dua bentuk pengukuran digunakan iaitu penggunaan penilaian kendiri pelajar sama ada aktif atau tidak aktif dan yang kedua melalui jawapan pelajar sama ada mereka memegang jawatan atau tidak memegang jawatan dalam sukan, persatuan dan unit beruniform.

Latar Belakang Demografi

Ia meliputi jantina, pendapatan keluarga dan latar belakang keluarga.