Wednesday, October 19, 2011

Contoh Bab 1 Pengenalan

Assalamu'alaikum dan selamat sejahtera kepada pelajar-pelajar semester  sesi September 2011/2012 KYM-UUM.

Sebagaimana yang anda ketahui, anda dikehendaki melakukan suatu kajian mini dan kemudiannya melaporkan hasil kajian dalam bentuk laporan bertulis.

Apa yang saya perhatikan, para pelajar sangat sukar melaksanakan tugasan yang diberikan. Oleh yang demikian, di bawah ini saya tampalkan suatu contoh laporan kajian oleh Dr. Abd. Sukor Shaari, Yahya Don, dan Yaakob Daud  daripada UUM sebagai panduan menulis BAB 1 Pengenalan.





MOTIVASI BELAJAR DAN HARGA DIRI :
HUBUNGAN DENGAN PENCAPAIAN AKADEMIK DAN
KEGIATAN KOKURIKULUM PELAJAR SEKOLAH MENENGAH


BAB I
PENGENALAN
Pengenalan

Motivasi ialah kemahuan dalam diri seseorang individu untuk melakukan sesuatu bagi mencapai matlamat. Menurut Sternberg (2001), motivasi bererti dorongan atau keperluan yang memimpin kepada sesuatu tindakan. Motivasi juga melibatkan sesuatu proses yang memberikan kuasa dan arahan yang menggerakkan tingkah laku seseorang.

Motivasi juga berkait rapat dengan keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam setiap usaha yang dilakukan (Mohamad Zaaba dan Zuraida Haji Ismail, 2004). Menurut mereka lagi, jika seseorang pelajar itu terdorong untuk belajar dengan tekun bagi mendapatkan keputusan yang cemerlang maka pelajar itu ialah seorang pelajar yang bermotivasi. Antara ciri-ciri pelajar bermotivasi tinggi ialah mereka sentiasa ingin ke sekolah awal, ingin ke perpustakaan, gemar membaca, gemar belajar dan menganggap peperiksaan sebagai satu cabaran.

Oleh sebab itu, adalah amat penting bagi semua pihak yang terlibat dengan pendidikan terutamanya pihak sekolah merancang dan melaksanakan pelbagai langkah bagi meningkatkan minat dan motivasi pelajar. Pihak sekolah perlu menyediakan iklim persekolahan yang positif bagi menggerakkan motivasi pelajar untuk menghasilkan corak pembelajaran yang berkesan. Ini kerana iklim sekolah merupakan faktor terpenting dalam menentukan kualiti pembelajaran murid-murid di sekolah seterusnya menentukan keberkesanan sesebuah sekolah.

Kecemerlangan pendidikan merupakan agenda penting yang sering dibincangkan. Ini kerana pembangunan dan kemajuan negara pada masa hadapan amat bergantung kepada sistem pendidikan dan rupa bentuk pelajar yang akan dihasilkan. Dalam usaha untuk membaiki kualiti dalam bidang pendidikan ini, lebih banyak fokus perlu diberikan kepada motivasi pelajar-pelajar. Ini kerana pelajar merupakan harapan negara pada masa hadapan.

Walau setekal mana dan semantap manapun program pendidikan yang dirancang dan dilaksanakan, ianya tidak akan mencapai hasil yang sepenuhnya jika para pelajar tidak berminat untuk belajar. Menurut Mohamad Zaaba dan Zuraida Haji Ismail (2004), walaupun kehadiran pelajar agak memuaskan, namun kehadiran secara fizikal tidak menjamin penglibatan mental. Pelajar-pelajar dilihat gagal mengambil peluang sepenuhnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ini kerana ramai pelajar tidak mempunyai komitmen terhadap pelajaran mereka.

Penyataan Masalah

Kajian-kajian terhadap motivasi belajar memang banyak. Antaranya ialah kajian terhadap tahap motivasi pelajar (Rothman, 1990), tahap motivasi dan hubungannya dengan penglibatan pelajar dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran dan gerak kerja dalam kelas (Suhaimi Zakaria, 1991).

Kajian-kajian terhadap harga diri pelajar juga banyak. Antaranya yang mengaitkan harga diri dengan pencapaian akademik (D’Amico & Cardaci, 2003; Roy, 2003), dan kajian tentang hubungan harga diri dengan perlakuan tidak bermoral (Meriwater, 2003). Menurut dapatan kajian oleh D’Amico dan Cardaci (2003) dan Roy (2003), tidak terdapat hubungan antara harga diri dengan pencapaian akademik.

Banyak kajian terhadap motivasi belajar dan harga diri dilakukan dengan menghubungkannya dengan pencapaian akademik tetapi kurangnya kajian terhadap mencari mengkaji hubungan antara motivasi belajar dengan harga diri.

Selain itu, kurangnya kajian yang memfokuskan kepada mencari perbezaan motivasi belajar dan harga diri mengikut kumpulan pencapaian akademik dan penglibatan kokurikulum. Adakah pelajar yang datang daripada kumpulan pencapaian akademik dan penglibatan kokurikulum yang berbeza mempunyai motivasi belajar dan harga diri yang berbeza? Adakah corak motivasi belajar dan harga diri berbeza juga mengikut latar belakang demografi?

Objektif Kajian

Objektif Am

Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap motivasi belajar dan harga diri pelajar-pelajar di sekolah-sekolah menengah dan hubungannya dengan pencapaian akademik dan penglibatan kokurikulum.

Objektif Khusus

Objektif khusus kajian ini ialah :-

1. mengenal pasti tahap motivasi belajar dan harga diri pelajar-pelajar di sekolah menengah.

2. membandingkan perbezaan tahap motivasi belajar dan harga diri pelajar-pelajar di sekolah menengah ini berdasarkan pencapaian akademik.

3. membandingkan perbezaan tahap motivasi belajar dan harga diri pelajar-pelajar di sekolah menengah ini berdasarkan penglibatan kokurikulum.

4. membandingkan perbezaan tahap motivasi belajar dan harga diri pelajar-pelajar ini berdasarkan latar belakang demografi.

5. mengukur hubungan antara harga diri, motivasi belajar dengan pencapaian akademik dan penglibatan kokurikulum.


Soalan Kajian

Berdasarkan kepada dimensi-dimensi permasalahan kajian yang dikemukakan, soalansoalan bagi kajian ini ialah:

1. Apakah tahap motivasi belajar dan harga diri pelajar-pelajar di sekolah menengah?

2. Adakah terdapat perbezaan tahap motivasi belajar dan harga diri pelajar-pelajar di sekolah menengah ini berdasarkan pencapaian akademik?

3. Adakah terdapat perbezaan tahap motivasi belajar dan harga diri pelajar-pelajar di sekolah menengah ini berdasarkan penglibatan kokurikulum?

4. Adakah terdapat perbezaan tahap motivasi belajar dan harga diri pelajar-pelajar ini berdasarkan latar belakang demografi?

5. Adakah terdapat hubungan antara harga diri, motivasi belajar dengan pencapaian akademik dan penglibatan kokurikulum?


Signifikan Kajian

Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Penyataan ini menunjukkan bahawa para pelajar merupakan generasi yang menjadi sumber bernilai kepada negara tetapi para pelajar yang tidak bermotivasi, rendah harga diri dan tidak mempunyai disiplin tidak mendatangkan banyak kebaikan kepada negara. Oleh itu, maklumat dan dapatan daripada kajian ini, dijangka dapat menambahkan maklumat dan pengetahuan di samping menjanakan satu kerangka kerja yang baharu terhadap masalah disiplin di kalangan pelajar.

Di samping itu, kepada pelaksana dasar pada peringkat staf pentadbiran di jabatan pendidikan negeri, pengetua-pengetua dan guru besar sekolah diharapkan dapat menggunakan dapatan kajian ini untuk mengenal pasti hubungan antara motivasi belajar dan harga diri dengan pencapaian akademik.

Penyelidikan ini juga penting kerana dapat mengenal pasti adakah perbezaan pencapaian akademik dan penglibatan kokurikulum disebabkan rendahnya motivasi belajar dan harga diri mereka. Ini kerana terdapat kekurangan dalam kajian-kajian lepas mengenai faktor-faktor yang menjadi peramal terhadap tingkah laku pelajar dalam pencapaian akademik dan penglibatan kokurikulum dari sudut psikososial pelajar sekolah menengah terutama di Malaysia. Kajian ini merupakan satu pencetus usaha kepada kajian-kajian lepas mengenai motivasi belajar, harga diri dan pencapaian akademik pelajar-pelajar
sekolah menengah.


Skop dan Batasan Kajian

Kajian ini hanya memberikan tumpuan untuk mengenal pasti hubungan antara motivasi belajar, harga diri dengan pencapaian akademik dan penglibatan kokurikulum di kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah. Selain itu, kajian ini juga bertujuan mengukur adakah ciri-ciri demografi pelajar seperti jantina, etnik dan latar belakang sosioekonomi mempunyai hubungan dengan pencapaian akademik dan penglibatan kokurikulum mereka.

Walaupun terdapat beberapa kajian yang menyenaraikan beberapa pemboleh ubah lain yang mempengaruhi pencapaian akademik dan penglibatan kokurikulum tetapi kajian ini hanya terbatas untuk mengkaji pemboleh ubah-pemboleh ubah yang dinyatakan sahaja. Pemboleh ubah yang digunakan dalam kajian ini dipilih selepas membuat kajian-kajian lepas, berdasarkan kepada pelbagai pendapat yang berkaitan, diikuti dengan penilaian penyelidik sendiri berdasarkan sebagai bekas guru di sekolah menengah. Penyelidik lain mungkin memilih pemboleh ubah yang berbeza untuk digunakan dalam kajian walaupun skopnya sama.

Kajian ini hanya melibatkan pelajar-pelajar sekolah-sekolah menengah kebangsaan di dua buah daerah di Kedah sahaja. Sekolah-sekolah ini hanyalah sekolah menengah harian biasa. Maklumat yang didapati terbatas kepada kesediaan responden untuk meluahkan perspektif mereka dengan baik. Oleh itu, untuk membuat generalisasi dapatan ini kepada populasi yang lebih besar perlu dibuat secara berhati-hati.

Kajian ini akan menggunakan teknik "cross-sectional' iaitu direka bentuk untuk mengukur topik yang khusus dan mengutip data hanya pada masa itu sahaja. Selain itu, kajian ini dijalankan ketika responden baru sahaja memasuki persekolahan tingkatan 4. Justeru, maklumat yang diberikan oleh responden yang digunakan untuk menganalisis dapatan kajian dipengaruhi oleh tempoh masa ketika kajian ini dijalankan.


Definisi Operasional

Motivasi

Motivasi ialah kesedaran seseorang untuk meningkatkan usaha ke arah mencapai sesuatu matlamat dengan syarat usaha tersebut dapat memenuhi keperluan individu itu sendiri (Robbins,1998). Motivasi mempunyai tiga unsur yang penting iaitu usaha, matlamat dan keperluan dan seseorang yang mempunyai motivasi akan berusaha dengan bersungguhsungguh untuk mencapai matlamat. Motivasi juga didefinisikan sebagai penggerak kepada kemahuan-kemahuan dan keinginan untuk berjaya atau untuk mencapai sesuatu rancangan untuk mengelakkan diri daripada kegagalan (Saedah, Zainon dan Tunku Mohani,1996).

Motivasi Belajar

Mohd Zaaba dan Zuraida Hj Ismail (2004), mentakrifkan motivasi belajar sebagai usaha dan kemahuan individu untuk belajar, bekerja kuat dan mencapai prestasi cemerlang di sekolah. Motivasi ialah aras insentif yang ada pada seseorang dalam usaha untuk mencapai matlamat akademik. Marshall (1987) pula mentakrifkan motivasi untuk belajar sebagai nilai, kepentingan dan faedah yang diperoleh dari tugasan akademik tidak kira sama ada tugasan itu menarik atau pun tidak. Ames (1990) pula mentakrifkannya sebagai penglibatan jangka panjang yang berkualiti serta iltizam dalam proses pembelajaran manakala Brophy (1987) menyatakan untuk belajar adalah kemahiran yang diperoleh melalui pengalaman yang dirangsang secara terus melalui model atau contoh, komunikasi jangkaan, arahan atau proses sosialisasi dengan individu yang berpengaruh terutama guru dan ibu bapa.

Dalam kajian ini, motivasi untuk belajar adalah usaha dan kemahuan individu untuk belajar, bekerja kuat dan mencapai prestasi cemerlang di sekolah. Motivasi adalah aras insentif yang ada pada seseorang dalam usaha untuk mencapai matlamat akademik. Ini bermakna individu ini bukan sahaja mahu berusaha malah menghargai dan seronok belajar dan mendapat manfaat daripada pembelajaran yang dijalankan.

Harga Diri

Konsep ini bermaksud penilaian individu terhadap terhadap diri sendiri yang diakibatkan oleh pengalaman dirinya dengan persekitaran.

Pencapaian Akademik

Pencapaian akademik merujuk kepada hasil yang diperoleh oleh pelajar-pelajar setelah mempelajari sesuatu ilmu pengetahuan. Secara khususnya pencapaian akademik merujuk kepada penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran pada sesuatu tahap mengikut ukuran peperiksaan. Pencapaian akademik pelajar dalam kajian ini diukur melalui dua cara iaitu yang pertama melalui keputusan peperiksaan PMR 2003 bagi tujuh mata pelajaran wajib yang diambil oleh semua calon PMR. Mata pelajaran tersebut ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah, Geografi dam Kemahiran Hidup. Skor setiap subjek diberikan nilai seperti di bawah

A - 5
B - 4
C - 3
D - 2
E - 1

Pencapaian akademik ini kemudiannya dikategorikan ke dalam dua kumpulan berikut iaitu 
Tinggi : Skor 21 - 35
Rendah : Skor 7 - 20

Selain itu, cara kedua ialah dengan mengambil markah dalam mata pelajaran Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sahaja sebagai ukuran pencapaian akademik.

Penglibatan Kokurikulum

Penglibatan kokurikulum pelajar bermaksud keaktifan pelajar untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum di sekolah sama ada dalam bidang unit beruniform, sukan dan persatuan. Dalam kajian ini, dua bentuk pengukuran digunakan iaitu penggunaan penilaian kendiri pelajar sama ada aktif atau tidak aktif dan yang kedua melalui jawapan pelajar sama ada mereka memegang jawatan atau tidak memegang jawatan dalam sukan, persatuan dan unit beruniform.

Latar Belakang Demografi

Ia meliputi jantina, pendapatan keluarga dan latar belakang keluarga.

No comments:

Post a Comment